KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia adalah pengguna telefon bimbit tegar di rantau Asia Pasifik dan merupakan negara ketiga tertinggi selepas Amerika Syarikat dan Eropah yang menggunakan khidmat telekomunikasi.
Jumlah pengguna yang memiliki telefon bimbit di negara ini juga ramai dan setiap seorang kadangkala mempunyai lebih daripada satu telefon pintar.
Menurut kajian, lebih 47 peratus pengguna memiliki lebih daripada satu telefon bimbit diikuti Hong kong (31 peratus) serta Singapura dan China yang masing-masing (29 peratus).
Trend penggunaan telefon bimbit ini dipercayai didorong oleh kepelbagaian jenama telefon pintar itu sendiri serta kecanggihan pada alat tersebut yang mampu menarik minat penggemarnya.
Apapun semua itu bergantung kepada keadaan semasa dan juga pengeluar yang sentiasa akan menaik taraf penggunaan alat telekomunikasi ini serta berlumba-lumba dengan pesaing mereka.
Menurut sumber, rakyat Malaysia tidak sedar bahawa mereka telah dianaktirikan apabila khidmat bagi caj perkhidmatan talian prabayar (prepaid) oleh beberapa buah syarikat telekomunikasi sebenarnya mahal dan tidak masuk akal.
Sumber itu mendakwa, rakyat Malaysia seolah-olah sedang berdepan dengan satu senario diskriminasi tanpa disedari apabila kegilaan mereka terhadap gajet dan terlalu taksub dengan pengiklanan oleh syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan talian yang membuat pelbagai promosi sebenarnya memerangkap diri mereka sendiri.
Tinjauan di sekitar ibu negara mendapati, penyedia perkhidmatan talian telefon bimbit berlumba-lumba membuat promosi perkhidmatan mereka sehingga ada yang meletakkan caj panggilan IDD serendah 0.06 sen bagi setiap minit.
Tahukah kita, sebenarnya pengguna di Malaysia terpaksa membayar caj panggilan domestik setinggi RM0.36 sen seminit, sedangkan rakyat Bangladesh di Malaysia menikmati kadar RM0.06 sen bagi setiap minit untuk setiap IDD yang dibuat ke negara mereka.
Dalam situasi ini apa yang berlaku adalah sesuatu yang di luar jangkauan apabila warga tanahair sendiri sudah tidak lagi mendapat hak mereka di tanah air sendiri sedangkan orang lain yang menumpang rezeki di sini mendapat keistimewaan itu.
Apa yang berlaku ini nyata terbukti apabila beberapa warga Bangladesh yang ditemui di sekitar ibu negara mengesahkan perkara itu.
Seorang warga Bangladesh yang ditemui Muhamad Abu Hanif, 28, berkata, panggilan IDD yang digunakannya sangat murah dan berbaloi.
Katanya, setiap hari dia akan menghubungi keluarganya di kampung untuk bertanyakan khabar serta bersembang tentang sesuatu perkara dan biasanya panggilan yang dibuat tidak kurang dari setengah jam.
“Saya tidak kisah walau membuat panggilan lebih dari masa itu kerana meskipun kredit yang tinggal sangat minimum tetapi saya masih boleh lagi berbual,” katanya.
Rakan senegaranya yang dikenali sebagai Shamsuir Kartuk, 48, berkata, isterinya yang berada di Bangladesh hanya perlu membuat panggilan tanpa jawapan (missed call) dan dia akan menghubunginya semula.
Jelasnya, dia berbuat demikian ekoran tidak mahu isterinya dikenakan caj panggilan yang mahal.
“Di sana (Bangladesh) purata kadar panggilan antarabangsa sangat mahal tidak sama seperti jika saya membuat panggilan kepadanya semula.
“Sebagai contoh kalau baki pada telefon saya ada RM3, saya masih boleh bercakap dengan isteri lebih dari 20 minit tetapi tidak bagi isteri saya di sana.
“Setiap hari memang kalau nak bercakap dengan  isteri memang akan saya lakukan begitu bagi menjimatkan perbelanjaan,” ujarnya.
Seorang lagi warga Bangladesh, Md. Badul Karar, 34, pula berkata, dia tidak perlu berbelanja banyak semata-mata bagi tujuan penggunaan perkhidmatan telefon bimbit kerana pada bila-bila masa dia boleh menggunakannya dengan kadar caj yang sangat rendah.
Katanya, tidak perlu menunggu waktu malam untuk mendapatkan caj perkhidmatan yang murah sebagaimana sesetengah orang melakukannya, sebaliknya dia boleh bercakap dengan keluarganya menerusi telefon bimbit pada bila-bila masa.
“Saya boleh bercakap dengan keluarga saya seolah-olah seperti berada di rumah dan tidak perlu menanti waktu-waktu tertentu untuk membuat panggilan,” ujarnya yang telah lima tahun berada di negara ini.

Post a Comment

 
Top