Harga minyak semakin naik dalam dagangan Asia



SINGAPURA: Harga minyak naik dalam dagangan Asia hari ini lantaran unjuran positif daripada pengeluar utama Kuwait, walaupun pada masa sama pelabur turut memberi perhatian kepada rundingan bermasalah antara Greece dengan kumpulan pemberi hutang.


Kontrak hadapan AS, West Texas Intermediate (WTI) untuk penghantaran Mac naik 44 cents kepada AS$53.22 manakala Brent untuk penghantaran April naik 68 cents kepada AS$62.08 pada penutupan tengah hari.


Kerajaan baharu Greece yang anti langkah berjimat cermat yakin dapat meyakinkan Kesatuan Eropah untuk merundingkan semula syarat ditetapkan dalam pakej menyelamat AS$270 bilion yang didakwa merosakkan ekonomi negara itu.


Bagaimanapun, 18 anggota zon euro lain diterajui Jerman tetap mahu Greece mengamalkan langkah jimat cermat seperti ditetapkan dalam pelan sekarang.


Dalam pada itu, penganalisis masih menilai ulasan Menteri Minyak Kuwait, Ali al-Omair bahawa harga minyak mentah sudah pulih lebih cepat daripada jangkaan dan kenaikan terbaru ini akan bertahan lama.


Kuwait, antara anggota OPEC adalah pengeluar minyak ke-10 terbesar dunia.


Selain itu, sentimen pasaran turut didorong oleh penutupan lebih banyak telaga minyak shal di Amerika Utara sekali gus membantu mengurangkan lebihan bekalan di pasaran. – AFP



Post a Comment

 
Top