Menjadi tua adalah lumrah kehidupan dan setiap individu tidak akan terlepas melalui saat itu.
Selain umur meningkat, menjadi tua juga bermaksud perubahan pada sistem tubuh seperti kulit menjadi kusam, kendur dan berkedut, tulang dan sendi mulai lemah, pergerakan perlahan dan penglihatan kabur. Namun, bolehkah tanda penuaan ini diperbetulkan?
Persoalan inilah menyebabkan kemunculan pelbagai produk kosmetik berasaskan kolagen dalam pasaran ketika ini. Produk sebegini dikatakan dapat memperlahankan proses penuaan dan sebagai awet muda.
APAKAH KOLAGEN?
Kolagen ialah sejenis protein semula jadi dalam kulit manusia dan menjadi bahan asas dalam penghasilan sel tisu dan organ dalam tubuh manusia. Satu pertiga daripada protein dalam tubuh manusia diperbuat daripada kolagen dan kebiasaannya ditemui pada tulang, otot dan tisu pada organ.
Kolagen juga, bersam-sama komponen lain seperti keratin dan elastin, memberi kekuatan dan keanjalan struktur kulit manusia.
Penghasilan kolagen secara semula jadi oleh badan manusia akan berkurangan secara perlahan-lahan dengan peningkatan usia pada kadar purata satu peratus setiap tahun.
Bagi golongan wanita, penghasilan kolagen tidak sebanyak lelaki. Oleh itu dengan penghasilan berkurangan pada kadar sebanyak satu peratus ini, golongan wanita akan kehilangan hampir separuh kolagen daripada kulit mereka seawal usia 50 tahun.
Selain itu, kolagen semula jadi ini juga boleh berkurangan disebabkan faktor persekitaran seperti kerap terdedah pada cahaya matahari, nutrisi tidak seimbang, terdedah pada toksin seperti asap rokok dan penggunaaan dadah rekreasi.
PRODUK KOLAGEN
Kebelakangan ini, banyak syarikat kosmetik memperkenalkan produk berasaskan kolagen yang dikatakan dapat menggantikan kolagen semula jadi yang berkurangan disebabkan peningkatan usia. Produk kolagen yang berada di pasaran pada masa ini, disediakan dalam bentuk minuman, pil, kapsul, krim dan suntikan.
Produk ini dikatakan dapat menghilangkan kedut dan garisan halus pada muka, menambah keanjalan dan memperbaiki pigmentasi, sekali gus memberi kesan pemulihan kepada kulit. Ada juga produk mendakwa mempunyai khasiat tambahan seperti memberi kekuatan tulang dan nmemperbaiki fungsi sendiri.
Bagaimanapun, di sebalik dakwaan syarikat dan testimoni pengguna berkaitan produk kolagen, ada hujah yang menolak dakwaan itu dari sudut pandangan berbeza.
Hujah pertama, kolagen ialah sejenis protein dan apabila diambil secara oral, ia akan dihadam oleh enzim pencernaan dalam perut untuk menjadi asid amino.
Asid amino ini kemudian digunakan oleh sel untuk proses penting dalam tubuh dan tidak semestinya digunakan untuk menggantikan kolagen pada kulit atau tulang seperti dikehendaki.
Hujah kedua, kolagen dalam krim, losen atau gel yang perlu disapu pada kulit pula dikhuatiri tidak dapat memberi kesan diingini kerana saiz molekul kolagen sangat besar dan tidak dapat menembusi lapisan kulit.
Jika ada produk kolagen diformulasi dengan teknologi moden dan bersaiz mikro, kolagen yang berjaya meresap masuk ke kulit ini berkemungkinan dimusnahkan oleh sistem imun badan terlebih dahulu sebelum sempat menghasilkan kesan diingini.
Justeru, pengguna yang bercadang menggunakan produk kolagen perlu mempertimbangkan sebaik mungkin sebelum membeli dan menggunakan produk kolagen.
Tidak dapat dinafikan ada dalam kalangan pengguna berjaya mendapatkan kesan dikehendaki dan tidak kurang ada yang tertipu dengan dakwaan dikemukakan penjual.
Mohd Shahiri Abd Ghapar
Pejabat Kesihatan Daerah Rompia,
Perkhidmatan Farmasi,
Kementerian Kesihatan Malaysia.
Post a Comment